
Kuala Lumpur, 10 Jun 2025 – Membawa impian besar lebarkan sayap dalam industri muzik, tiga penyanyi Aidyl Hr, Pika, dan Pikabu bergandingan buat pertama kali menerusi lagu yang mendalam mesejnya berjudul Way.
Way menjadi lambang kepada perjuangan seseorang dalam mengejar impian serta melunaskan cita-cita tinggi dalam diri. Melodi dan liriknya mungkin kedengaran ringkas, namun mesejnya lebih lagi.
Mendapat sentuhan komposer hebat dari Labuan iaitu j0n yang juga penulis lirik dan penerbit, turut melengkapkan penghasilannya adalah Ejump Jeffrey, Aidyl Hr, Pikabu sebagai penyumbang liriknya.
j0n berkongsi banyak hal menarik yang berlaku di sebalik pembikinan lagu itu. Hakikatnya, mereka mengambil masa dua tahun untuk benar-benar bersedia melancarkan Way secara rasmi.
“Sebenarnya lagu ini tercetus apabila kami mengadakan acara ‘jamming’ di Labuan. Ilhamnya adalah berkenaan mengejar peluang dalam apa jua hal seperti kerjaya mahupun perniagaan.
“Kemudian idea itu berkembang menjadi sebuah lagu yang santai dan ceria. Namun begitu, bahagian Aidyl dan Pikabu tetap ada suntikan emosi yang mampu menyentuh pendengar,” katanya.
j0n menyifatkan Way sebuah karya teramat istimewa kerana perjalanan untuk merealisasikannya berwarna-warni. Daripada pemilihan penyanyi hinggalah proses rakaman, dia puas.
Aspek terpentingnya tidak lain menggabungkan tiga penyanyi yang masing-masing membawa nuansa unik. Persahabatan yang terjalin sesama mereka turut menjadi tunjang kejayaan lagu itu.
Berkongsi lanjut mengenai pembikinan Way pula, j0n mengakui prosesnya mengambil masa kerana rakaman dibuat berasingan. Produksinya dilakukan dari Kota Kinabalu dan Labuan.
Apapun, dia seronok dan percaya gabungan tiga penyanyi itu berpadu dengan sempurna. Mereka serlahkan keunikan tersendiri dalam Way menjadikan karya ini lebih besar maknanya.
“Pika penyanyi asal Labuan, bekas guru, kerap membuat persembahan bersama band korporat di Labuan. Vokal hebatnya sangat sempurna dengan lagu ini.
“Aidyl pula memang berbakat, bersungguh, dan saya pun pernah kerja bersamanya sebelum ini. Pikabu memiliki anugerah bakat dalam bahasa Kedayan dengan stail unik.
“Ketiganya terus sepakat sukakan demo lagu ini dan bekerja dengan mereka memang sangat mudah serta menyeronokkan,” katanya.
Diterbitkan di bawah label Lab One Entertainment atau Lab1e, Way menjadi lagu debut daripada syarikat terbabit. Jadi, besar harapan j0n agar ia berjaya mendapat tempat di hati ramai.
Dia ingin membuktikan Lab1e mampu angkat karya hebat ke peringkat lebih tertinggi khususnya arus perdana. Misinya besar untuk memikat pendengar seluruh Malaysia.
“Ini adalah lagu pertama dilancarkan Lab1e yang berpangkalan di Labuan. Semoga pelancaran ini menjadi batu loncatan untuk kejayaan yang lebih mekar di depan buat Lab1e.
“Paling penting, semoga Way mampu menghibur, diterima baik, dinikmati, serta dirasai semua rakyat Malaysia,” katanya.
Maklumat hubungan:
sijon@lab1e.com


Leave a comment